Saturday 10 September 2011

Keistimewaan Rawatan Berpantang

Rawatan Berpantang Lepas Bersalin amat dititikberatkan oleh para ibu bagi memastikan kesihatan dalaman, keintiman dan kecergasan kembali pulih selepas bekerja keras mengandung dan melahirkan anak.

Rawatan Berpantang merangkumi rawatan tradisional seperti bertuam / bertungku, bertangas / bersauna herba, lulur badan, mandian herba, urutan tradisional lepas bersalin (pemulihan tubuh badan), urutan sengkak, memakai bengkung, dan pemakaian param / pilis. Setiap satu jenis rawatan tersebut mempunyai keperluan dan faedah tersendiri. Setiap bidan / penjaga pantang akan memastikan ibu-ibu mengikut aturan rawatan berpantang dengan betul. Hasil daripada rawatan berpantang yang kelihatan cerewet, renyah dan ketat ini akan mengembalikan kesihatan, kecantikan dan kecergasan ibu. Teknik dan penjagaan yang betul juga kadang kala bukan saja mengembalikan kesihatan ibu, malah ibu juga kelihatan lebih sihat dan anggun berbanding sebelum mengandung. Disinilah keistimewaan rawatan berpantang yang diikuti dengan rapi dan sempurna.

Pusat Rawatan Panji Alam (PRPA) dengan ini mengambil inisiatif untuk memanfaatkan ilmu perbidanan Melayu yang dipelajari dan diwarisi dengan membantu memberi perkhidmatan kepada para ibu khususnya yang berada di kawasan bandar. Seringkali kami mendapat dan mendengar keluhan para wanita tentang susahnya menjalani rawatan berpantang, sukar untuk mendisiplinkan diri sehinggalah untuk mengikut aturan-aturan tertentu melainkan perlu dijaga dan dikawal oleh seseorang. Selain itu keadaan diri yang masih lemah, lesu dan tidak bertenaga sepenuhnya memerlukan pembantu yang dapat membantu menjaga dan menguruskan diri serta bayi selepas dilahirkan. Penjagaan yang sempurna dan teratur akan mengelakkan ibu khususnya daripada terkena demam urat, bentan, angin bisa, lenguh2 badan sehinggalah memberi kesan pada kecantikan fizikal, kesihatan organ dalaman dan juga pada hubungan intim.

Pusat Rawatan Panji Alam bukan saja menyediakan Penjaga Pantang / Confinement Lady sebagai orang yang menguruskan aturan berpantang dan membantu menjaga ibu tetapi atas kesedaran kepentingan kesihatan ibu dan bayi, PRPA juga memastikan pusat rawatan dipantau dan diselia oleh Jururawat-Jururawat Bertauliah Terlatih supaya membantu para ibu menguruskan diri dan bayi dengan betul tanpa mengabaikan aspek klinikal serta memantau kesihatan ibu dan bayi. Sebarang tanda-tanda yang mengancam atau menjejaskan kesihatan akan segera dirujuk ke Pusat Kesihatan selepas diberi rawatan pertama.

Bagi para ibu dan suami, pastikan anda mendapat rawatan dan pemantauan yang terbaik bagi menjamin kesihatan diri anda dan anak. Pasti anda ingin lihat si kecil sihat dan membesar bukan? Untuk itu anda juga harus sihat dan cergas supaya dapat membantu ke arah tumbesaran si kecil dengan terbaik!


No comments:

Post a Comment